Kebanyakkan wanita tidak akan pernah menyangka mereka boleh terkena penyakit kanser. Pada tahun 2017, kita dikejutkan dengan pemergian seorang artis terkenal, Ary Malik yang tewas setelah berjuang dengan penyakit kanser ovari/ kanser rahim.
Ramai menggelar kanser ini sebagai 'pembunuh senyap' kerana ia tidak menunjukkan sebarang tanda serius dan begitu cepat meragut nyawa. Lebih menakutkan, ia boleh menyerang wanita seawal 26 tahun di Malaysia.
Pun begitu, tahukah anda bahawa kanser ovari boleh dikesan awal? Menurut Pakar Ginekologi Onkologi Hospital Serdang, Dr Andi Anggeriana Andi Asri menerusi MAKNA Malaysia (Majlis Kanser Nasional), kanser rahim adalah salah satu kanser yang mampu dikesan seawal tahap satu.
Katanya lagi, bagi individu berusia bawah 30 tahun, rawatan susulan mampu memberikan tahap penyembuhan pada kadar yang cepat serta tidak perlu menjalani pembuangan rahim. Simptom kanser ovari yang boleh dikesan awal termasuklah:
1. Haid Tidak Teratur Dan Banyak
Bagi wanita yang berumur awal 50 tahun dan belum menopaus, anda perlu memberi perhatian jika haid keluar secara banyak dan berterusan secara tiba-tiba. Perkara ini terjadi kerana ovari gagal merembeskan hormon secara normal kerana prosesnya terganggu dan tidak berjalan lancar. Aliran haid yang banyak ini juga boleh terjadi disebabkan oleh beberapa penyakit seperti fibroid.
2. Pendarahan Selepas Menopaus
Simptom yang paling utama selepas menopaus adalah berlakunya pendarahan. Biasanya, wanita akan mengambil mudah apabila didatangi haid selepas menopaus. Walhal, wanita perlu membuat pemeriksaan sekiranya perkara ini berlaku agar doktor dapat mengesahkan sama ada ia penyakit serius. Apabila dibiarkan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan, sel-sel kanser boleh merebak dan akhirnya mencapai ke tahap 4.
3. Perut Tidak Selesa
Sistem penghadaman juga termasuk dalam tanda-tanda awal pesakit menghidapi kanser ovari. Perkara ini terjadi disebabkan posisi sistem perhadaman tubuh badan yang agak dekat dengan ovari. Malah, perut akan terasa mudah kenyang dan kembung. Sesetengah wanita mudah terasa loya dan mudah terkena sembelit. Jika perkara ini berlanjutan lebih dari tiga minggu, dapatkan nasihat doktor untuk rawatan selanjutnya.
4. Badan Kerap Letih
Badan terasa letih dan lesu walaupun sudah berehat lama. Nafas menjadi singkat dan jantung berdegup dengan lebih laju walaupun tidak melakukan aktiviti berat. Malahan, badan anda tidak pernah merasa lesu yang teramat seperti ini. Simptom ini terjadi disebabkan oleh sel-sel darah merah yang berkurangan berbanding sel darah putih. Keadaan inilah yang dinamakan anemia dan sering berlaku pada pesakit kanser.
Anda minum air seperti kebiasaan namun terlalu kerap membuang air kencing. Bukan sekadar buang air kencing, anda juga berasa sakit setiap kali membuang dan berasa sakit seperti rasa ketat dan pedih. Sekiranya anda pernah mengalami simptom seperti ini, jangan berasa malu untuk mendapatkan nasihat doktor jika ia berlarutan lebih dua minggu. Walaubagaimanapun, tanda kanser ovari ini menyerupai juga beberapa penyakit lain yang kurang serius dan boleh dirawat dengan mudah.
6. Sakit Seakan Senggugut
Sakit di kawasan pelvis seakan-akan senggugut ketika haid juga adalah antara tanda kanser ovari. Ianya seperti sakit senggugut atau mungkin lebih teruk sehingga perlu berbaring dan mengambil ubat tahan sakit. Jika sakit pelvis ini berlarutan walaupun selepas haid atau pada bila-bila masa, anda perlu melakukan rawatan lanjut bagi mengenalpasti permasalahan.
7. Perubahan Berat Badan Secara Drastik

Jika selama ini memiliki tubuh badan yang agak gempal dan berat badan turun secara drastik tanpa senaman atau kawalan pemakanan, dapatkan rawatan segera. Perkara ini perlu diteliti kerana kemungkinan kesihatan tubuh tidak berada dalam keadaan yang baik. Mengubah corak pemakanan kepada yang lebih sihat dan rutin senaman dapat mengurangkan risiko kanser.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan